Wednesday, December 28, 2011
gambar IFWAT 91-120 hari
Posted by Anis Farisha at 3:33 PM 0 comments
IFWAT : 90-120 hari
Perkembangan bayi anda pada usia 4 bulan
Makan kurang kerap
Apabila bayi anda mencapai usia empat bulan, perutnya sudah membesar jadi dia tidak lagi perlukan makanan begitu kerap – hanya empat atau lima kali sehari. Namun begitu, berat badannya masih bertambah – keperluannya untuk mengambil makanan menurun apabila dia menjadi lebih besar, lebih mirip kepada kekerapan kanak-kanak yang lebih tua atau orang dewasa. Sekarang di waktu makan, perhatiannya mula beralih kepada orang dan benda-benda, justeru, walaupun anda seronok apabila melihat dia sedar dan responsif terhadap benda-benda baru, anda mendapati bahawa memberinya makan menjadi satu perkara yang sulit. Sekiranya bayi anda mudah ralit dan tidak menumpukan kepada makanannya, carilah satu tempat yang lebih sunyi untuk memberikan dia makan.
Bakat baru pusing meniarap dan menelentang
Apabila bayi anda dibaringkan atas perutnya, dia akan mengangkatkan kepala dan bahunya seberapa tinggi dan menggunakan lengannya untuk mengampu dan menahan. Tekan tubi mininya ini membantu bayi mengukuhkan otot-otot dan dia juga akan mendapat pandangan yang baik tentang perkara-perkara yang sedang berlaku di sekitarnya. Dia mungkin juga mengangumkan anda (dan diri sendiri!) dengan berpusing dari baring telungkup kepada telentang, atau sebaliknya. Anda boleh menggalakkan ini melalui mainan: goyang-goyangkan patung mainan di tempat ke mana dia akan pusing untuk menggalakkan dia mencuba lagi. Beri tepukan dan senyuman apabila dia melakukan ini; dia memerlukan sokongan anda sebab perbuatan-perbuatan barunya ini agak menakutkan baginya.
Masa ini untuk makanan pepejal?
Bagi empat ke enam bulan pertama dalam hidupnya, bayi anda memperolehi semua nutrien yang diperlukan dari susu badan atau susu formula. Namun begitu, didapati bahawa ibubapa sudah mahu mula memberi makanan pepejal. Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mencuba pepejal. Anda boleh mulakan dengan memberinya sedikit pepejal (iaitu makanan lembik seperti makanan bayi yang dipuri atau bijirin bayi) memandangkan saluran pencernaannya sudah agak matang dan refleks menjolok lidah keluar semakin lenyap. Walau bagaimanapun, kebanyakan doktor menggalakkan ibubapa agar menunggu sampai bayi berusia enam bulan. Dengan tidak memberikan pepejal terlalu awal, anda boleh mengurangkan reaksi alergik dan menjaminkan yang susu ibu dan formula dalam diet bayi anda tidak dikurangkan.
Memanjangkan tangan dan memasukkan objek ke dalam mulut
Bayi anda sekarang sudah boleh memanjangkan tangannya dan merampas sesuatu objek, walaupun lazimnya pertama kali dia mencuba dia terlepas sasarnya. Apabila dia dapat memegang sesuatu, dia akan mengkajinya untuk seketika dan kemudian cuba memasukkannya ke dalam mulut. Anda juga akan memerhatikan air liur banyak meleleh sekarang. Setengah bayi sudah mula tumbuh gigi ada seawal usia empat bulan, tetapi gigi pertama bayi selalunya tidak keluar sebelum usia lima atau enam bulan.
Galakkan bayi anda mencuba dan bermain dengan pelbagai jenis objek. Umpamanya, lampin kain yang bersih boleh mengasyikkan bayi untuk beberapa minit. Perhatikan dia menghisap sesuatu objek, memegangnya, dan ketahuilah apa yang akan berlaku apabila dia merenyukkannya. Berikan dia kelentong ringan dan perhatikan betapa seronoknya dia mendengar kelentong itu berbunyi jika digoncang. Menyediakan tempat aktiviti bayi atau gim buaian adalah baik di peringkat ini, iaitu di ketika bayi anda mempelajari tentang sebab dan akibat - umpamanya, dia mendapati bahawa apabila dia mengerakkan tuil atau butang, dia mendengar loceng berbunyi.
Kini mampu bermain sendiri
Pada masa ini, bayi anda sudah pandai bermain dengan tangan dan kakinya untuk beberapa minit setiap kali. Sungguh ajaib! Pada satu ketika, anda tiba-tiba sedar bahawa tiada kedengaran apa-apa dari dalam bilik, jadi, anda jengok ke dalam dan melihat bayi anda yang sebelum ini memerlukan perhatian dan jagaan anda hampir setiap detik dia berjaga, sekarang boleh bermain dengan sendiri. Mungkin sekarang anda boleh kembali membaca surat akhbar seperti dulu kala.
Mula memahami peranan bahasa
Para penyelidik percaya bahawa menjelang usia empat bulan, bayi anda sudah boleh memahami semua bunyi-bunyi asas dalam bahasa ibundanya. Antara usia empat dan enam bulan, dia menguasai kemahiran membuat bunyi vokal, seperti “ma-ma” atau “da-da.” Walau bagaimanapun, dia tidak mengaitkan bunyi itu dengan ibu atau bapanya. Sekarang, dia juga boleh menyertai mainan tiru-meniru bunyi – anda sebut “boo”, dan dia akan cuba menyebutnya juga. Anda boleh mengembangkan kebolehan komunikasinya dengan meniru ekspresi muka dan bunyi yang disebutnya – dalam kata lain, men”cermin”kan perlakuan dia. Oleh sebab anda memberi reaksi terhadap sesuatu bunyi yang disebut olehnya dan bereaksi apabila dia cuba menyatakan sesuatu, bayi anda mula mempelajari tentang kepentingan bahasa dan mula memahami konsep sebab dan akibat. Dia mula sedar bahawa apa yang diperkatakan olehnya akan membawa kesan tertentu.
Memahami rampaisari warna yang pelbagai
Bayi boleh mengecam warna dari dia mula lahir, tetapi mempunyai kesukaran menbezakan nada terang-gelap dan corak warna seperti oren dan merah. Sebab itu, mereka lebih gemar hitam dan putih atau warna yang berkontras tinggi. Antara usia dua dan empat bulan, perbezaan warna menjadi lebih jelas, dan bayi anda mula dapat membezakan nada dan corak yang berlainan bagi sesuatu warna. Bayi anda akan menunjukkan kegemaran bagi warna primer yang terang. Dia akan tertarik kepada mobil tergantung yang berwarna cerah (digantung supaya tak dapat dicapainya), poster-poster terang dan buku-buku keras yang berwarna menarik.
Lebih memilih orang
Menjelang empat bulan, bayi anda mungkin sudah boleh menunjukkan respon terhadap kehadiran anda, suara anda dan juga ekspresi muka anda dengan menendang-nendang dan melambai-lambai tangannya.Sekitar masa ini juga, bayi anda, yang setakat ini cenderung memberi senyuman kepada semua orang yang dijumpainya, mula memilih orang-orang yang dia mahu berdekat dengannya. Jika dia berada dalam kumpulan ramai atau dengan orang yang tidak dikenalinya, dia mungkin memerlukan sedikit masa untuk menjadi selesa. Sediakan sedikit masa untuk bayi membuat transisi apabila berjumpa dengan orang yang tak dikenalinya atau apabila bayi ditinggalkan dengan penjaga. Anda akan juga mendapati bahawa apabila dia berada dalam dukungan anda, dia lebih berminat untuk berinteraksi dengan orang lain – terutama sekali kanak-kanak yang lebih tua yang bising dan riang riuh
Posted by Anis Farisha at 3:20 PM 0 comments
Thursday, December 15, 2011
TIPS MENIDURKAN ANAK
3-6 bulan
Tidur yang tipikal pada usia ini
Bagaimanakah anda boleh mewujudkan tabiat tidur yang baik
Adakan waktu tidur malam dan tidur siang yang tetap – dan ikutinya dengan baik
Jika bayi anda merupakan bayi baru lahir, adalah senang menidurkannya pada waktu malam sebab anda boleh perhatikan tanda-tanda dia mengantuk (menggosok mata, menarik telinga dan lain-lain). Sekarang, sebab dia sudah lebih besar, anda perlu mengadakan waktu tidur malam yang tetap dan juga waktu tidur siang yang konsisten untuk melaraskan pola tidurnya. Waktu tidur yang baik untuk bayi selalunya di antara pukul 7 dan 8.30 malam; jika lewat daripada ini, dia akan menjadi terlalu letih dan sukar untuk tidur. Bayi anda mungkin tidak kelihatan letih pada waktu tengah malam – sebaliknya, dia akan kelihatan sangat bertenaga dan bergerak aktif. Sebenarnya, ini adalah tanda bahawa ia telah melepasi waktu tidurnya. Anda juga boleh menetapkan waktu tidur siang dengan cara yang sama seperti tidur malam – tetapkan waktu yang spesifik setiap hari – atau anda boleh mengikut gerak hati sahaja tanpa mempunyai masa tidur dengan meletakkannya di katil apabila anda tahu dia sudah letih dan perlu berehat. Selagi dia mendapat tidur secukupnya, mana-mana pendekatan pun sesuai.
Adakan rutin yang mengingatkan bayi tentang tidur.
Jika anda belum mula, sekarang ialah masa yang baik untuk memulakan rutin hendak tidur. Rutin anda boleh terdiri dari mana-mana (atau semua) perkara berikut: memandikan bayi anda, bermain dengannya, membuat persediaan tidur tertentu, membaca satu atau dua cerita pengantar tidur, menyanyikan dodoian dan menciumnya selamat malam. Apa-apa rutin yang berkesan bagi keluarga anda boleh digunakan, selagi anda melakukannya dalam urutan yang sama pada waktu yang sama setiap malam. Kanak-kanak suka dengan perkara yang konsisten, dan hal bersabit tidur tidak terkecuali.
Bangunkan anak anda di pagi hari untuk melaraskan semula waktu hariannya
Jika bayi anda cenderung tidur lebih daripada 10 jam pada waktu malam, anda boleh mengejutkannya pada waktu pagi untuk melaraskan semula waktu hariannya. Walaupun tidur 10 jam pada waktu malam seakan-akan tidak menimbulkan masalah, bayi anda perlu mematuhi pola tidur / berjaga yang tetap dan mendapat rehat yang cukup semasa tidur siang. Mengejutkan bayi anda pada masa yang sama setiap pagi akan membantu dia mematuhi jadual tidurnya.
Potensi kesulitan yang akan timbul
Sesetengah bayi berusia tiga hingga enam bulan mungkin menghadapi masalah baru: sukar untuk tidur. Dalam kes-kes begini, meletakkan anak anda di katil untuk tidur adalah amat sukar bagi ibu bapa yang baru. Anda tidak boleh menjangka sama ada dia akan terus menjerit kuat ataupun merengek perlahan hanya untuk cuba meraih simpati.
Jika bayi anda sukar untuk tidur pada waktu malam, pastikan terlebih dahulu dia tidak berjaga terlalu lewat (seperti yang kami nyatakan, bayi yang terlalu letih akan sukar untuk tidur). Jika ini bukan sebabnya, dia mungkin telah memperolehi beberapa asosiasi tidur yang mengganggu. Jika anda mahu dia tidur sepanjang malam tanpa memanggil anda, dia perlu belajar untuk tidur dengan sendiri, tanpa dipujuk untuk tidur dengan didukung atau diberi susu badan atau puting.
Jika ini bukan sebabnya dan bayi anda masih sukar untuk tidur, terdapat pelbagai strategi yang boleh anda gunakan. Beberapa strategi ini digariskan di bawah. Sudah tentu, apa yang terbaik buat anda tergantung kepada kepercayaan peribadi dan falsafah tidur anda.
Penyelesaian masalah tidur
Apakah cara terbaik untuk melayan anak anda apabila anda telah menyelimutkannya? Para pakar mempunyai pendapat yang berbeza bagi isu ini. Namun, mereka bersetuju yang cara untuk menenang atau memujuk anak anda sememangnya akan berubah mengikut usianya. Bayi baru lahir perlu dipeluk sekejap, anak yang dah boleh berjalan memerlukan rutin yang konsisten dan dilaksana dengan tegas. Dalam hal peniduran bayi anda yang berusia tiga hingga enam bulan, lihatlah beberapa cadangan berikut yang diperolehi daripada pelbagai pakar dan pilihlah strategi yang mendatangkan hasil bagi anda:Penyelesaian 1
Lakukan rutin pergi menjenguk bayi yang mudah. Jika anak anda menangis, pergi ke biliknya. Usap belakangnya dan beritahu dia semuanya selamat dan waktu itu adalah waktu tidur. Jangan angkat atau peluknya; bertindaklah secara lembut tetapi tegas. Beredarlah. Tunggu sehingga lima minit dan jenguk sekali lagi. Lakukan ini berulang-kali sehingga dia terlena, dan panjangkan masa antara kunjungan anda.
Penyelesaian 2
Periksa rutin waktu tidur anak anda dengan teliti. Ingat bahawa adalah penting bayi dihantar ke katilnya semasa dia masih berjaga supaya dia boleh belajar untuk tidur dengan sendiri, bukan saja pada taim tidur malam tetapi apabila dia terjaga pada waktu malam juga. Sekiranya perkara ini tidak berlaku, cuba tukar rutin waktu tidur bayi anda.
Penyelesaian 3
Sekiranya bayi anda menangis dan anda sudah menyusukannya dan lampinnya tidak basah dan dia sihat, tunggulah lima minit sebelum pergi kepadanya. Kemudian yakinkan dia bahawa anda ada di sisinya sambil bercakap dengannya – jangan mengangkatnya, tapi bukalah lampu atau usaplah dia. Apabila anda masuk, pastikan anda bertenang dan lakukan semuanya dengan cepat dan ringkas. Jika dia masih menangis, setiap kali dia menangis, tunggu lebih lama lagi sebelum anda menemuinya dan ulangilah prosedur ini semua. Yang penting, anda perlu konsisten dan tegas.
Penyelesaian 4
Jangan menidurkan bayi anda dengan mendodoinya dan mendukungnya atau membiarkan dia menyusu badan atau menghisap botol; dia akan membuat asosiasi yang tak baik dan tidak akan dapat tidur tanpa itu semua, dan tidak akan belajar tidur dengan sendiri. Sebagai ganti, letakkan dia di katil semasa dia masih berjaga, duduk bersamanya, berikannya objek transisi sebagai ganti diri seperti selimut, kemudian, usapkan dia dan tenangkannya tanpa mengeluarkan kata-kata.
Penyelesaian 5
Pujuk bayi anda untuk tidur: dodoikannya dan baring bersamanya sehingga anda nampak yang bayi anda tidak bergerak lagi dan telah tidur dengan lena. Adakan satu rutin tidur dan ikutilah rutin ini; selain itu, cuba memeluk bayi anda di samping anda sendiri berpura-pura tidur dan bertegaslah dengannya bahawa masa itu ialah masa tidur.
Tidak terdapat cara yang "betul" untuk menggalakkan anak anda supaya bertenang dan tidur sepanjang malam. Anda perlu memilih penyelesaian yang paling berkesan bagi anda dan keluarga anda.
Posted by Anis Farisha at 9:46 PM 0 comments
TIPS MENIDURKAN ANAK
0-3 bulan
Tidur yang tipikal pada usia ini
Ramai ibu bapa risau mengenai risiko kematian kot pada masa beberapa bulan pertama usia bayi. Apa yang disarankan ialah supaya semasa ia berusia enam bulan ke bawah, bayi tidur pada waktu malam di dalam kot yang terletak di sebelah katil ibu bapa. Saranan lain termasuklah:
• Letakkan bayi anda dalam keadaan telentang, bukannya meniarap atau disisinya.
• Letakkan dia dengan kakinya rapat dengan hujung kot supaya dia tidak dapat menggeliang-geliut mengelungsur masuk ke dalam selimut.
• Pastikan suhu bilik bayi anda adalah di sekitar 18 darjah C / 64 darjah F.
• Bagi kain-kain alas katil, gunakan cadar dan selimut yang berongga dan bukannya duvet.
• Periksa yang bayi anda tidak terlalu panas atau terlalu sejuk dengan merasa bahagian perutnya: jika dia terlalu panas, alihkan selimut; jika dia sejuk, selimutkannya. Jangan memeriksa di bahagian tangan atau kakinya sebab adalah normal bagi bahagian-bahagian itu berasa sejuk.
Rujuk artikel kami mengenai mengurangkan risiko kematian kot untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tidur yang selamat.
Walaupun sesetengah bayi tidur sepanjang malam seawal lapan minggu, kebanyakan bayi belum boleh melakukan sebegini sehingga mereka berusia lima atau enam bulan, atau lebih lewat dari itu. Jika anda mahu bayi anda tidur sepanjang malam, anda boleh membantunya dengan mengajarnya tabiat tidur yang baik seawal mungkin.
Bagaimanakah anda boleh mewujudkan tabiat tidur yang baik
Belajar mengenal pasti tanda-tanda yang menunjukkan dia sudah letih
Semasa usia enam hingga lapan minggu, bayi anda tidak boleh berjaga lebih daripada dua jam pada satu-satu masa. Jika anda lewat menidurkannya, dia akan terasa terlalu letih dan tidak akan dapat lena dengan mudah. Lihatlah tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda sudah mengantuk. Adakah dia menggosok matanya, menarik telinganya atau menunjukkan lingkaran hitam di bawah matanya? Jika anda mengesan tanda-tanda ini atau tanda mengantuk yang lain, cuba letakkan dia ke dalam kot atau raga kendongnya. Lama-kelamaan anda akan memahami secara intuitif mengenai ritma dan pola harian bayi anda dan akan tahu bila masanya dia sudah bersedia untuk tidur.
Mula mengajarnya perbezaan di antara siang dan malam
Sesetengah bayi suka berjaga pada waktu malam (anda mungkin dapat petandanya semasa anda hamil dahulu) dan kadangkala bayi anda akan berjaga apabila anda baru sahaja lena. Hari-hari pertama selepas kelahiran, anda tidak akan dapat menangani ini. Tetapi apabila bayi anda berusia kira-kira dua minggu, anda sudah boleh mengajarnya membezakan malam daripada siang. Apabila dia giat dan berjaga pada waktu siang, bermainlah dengannya sekerap mungkin, pastikan rumah anda dan biliknya cerah dan terang, dan jangan risau mengenai kebisingan biasa seperti telefon, TV atau mesin basuh. Jika dia suka tidur semasa sedang menyusu, kejutkan dia. Pada waktu malam, cuba jangan bermain dengannya apabila anda masuk ke biliknya untuk menyusukannya. Pastikan cahaya dalam rumah dan bunyi-bunyi bising di tahap minima, dan jangan terlalu banyak bercakap dengannya. Tidak lama lagi, dia akan tahu bahawa waktu malam ialah waktu untuk tidur.
Berikan dia peluang untuk tidur dengan sendiri
Apabila dia berusia enam hingga lapan minggu, anda boleh cuba memberi peluang kepada bayi anda untuk tidur dengan sendiri. Cara terbaik melakukannya ialah dengan meletakkannya di katil semasa dia sedang mengantuk, tetapi masih berjaga.
Bagaimana anda menidurkan bayi anda adalah penting. Anda mungkin merasakan bahawa apa yang anda lakukan semasa hari-hari permulaan itu tidak mempunyai kesan yang berpanjangan, tetapi sebenarnya ada. Bayi sedang belajar bagaimana untuk tidur. Jika anda dodoikan bayi anda untuk tidur setiap malam pada lapan minggu permulaan, dia akan mahu didodoi setiap kali. Inilah sebabnya sesetengah pakar tidak menyokong anda mendodoi atau menyusukan bayi anda untuk tidur, walaupun dia masih di usia yang muda. Untuk mewujudkan cara tidur bayi yang mantap, anda perlu menggunakan strategi yang sama setiap malam.
Kesulitan yang mungkin timbul
• terjaga pada waktu malam dengan lebih kerap daripada yang sepatutnya;
• mengaitkan perkara tertentu dengan aktiviti tidur yang berkemungkinan akan membawa masalah kepada anda nanti.
Bayi yang baru lahir perlu bangun pada waktu malam supaya mereka dapat menyusu tetapi sesetengahnya akan terkejut dari tidur sebelum mereka perlu menyusu. Kadang-kala kehadiran anda berhampirannya akan menenangkannya dan dia akan kembali tidur.
Untuk mengelakkan bayi mengaitkan (membuat asosiasi) perkara tertentu dengan tidurnya di mana bayi bergantung kepada sesuatu seperti dodoian atau penyusuan untuk lena, letakkan saja bayi anda di katil sebelum dia tidur dan biarkan dia lena dengan sendirinya.
Penyelesaian masalah tidur
Anda perlu mengajar bayi anda sedikit demi sedikit bagaimana untuk tidur sepanjang malam. Para pakar tidak sependapat mengenai cara terbaik untuk melakukannya dan terdapat pelbagai falsafah yang bercanggah. Beberapa cara penyelesaian utama digariskan di bawah.Penyelesaian 1
Bayi anda boleh dilatih untuk memperolehi tabiat tidur yang baik seawal usia enam minggu. Caranya ialah mewujudkan rutin tidur malam dan tidur siang yang konsisten dan meletakkan bayi di atas katilnya semasa dia masih berjaga. Selagi anak anda boleh tidur dengan sendiri, anda boleh melayan panggilannya pada waktu tengah malam atau semasa tidur di siang hari. Gantikan sebarang asosiasi tidur yang bergantung kepada kehadiran anda (apa saja yang memerlukan anda berada di situ seperti dodoian atau penyusuan) dengan barang lain yang akan berada di situ semasa bayi anda terjaga (seperti selimut kegemarannya).
Penyelesaian 2
Anda mahu melakukan yang terbaik untuk anak anda dan membantunya membentuk tabiat tidur yang baik merupakan sebahagian daripadanya. Anak anda belum faham lagi mengenai apa yang terbaik untuknya dan akan menangis jika dia tidak mendapat apa yang dia mahukan. Matlamat anda ialah membantunya tidur dan belajar tidur dengan sendiri.
Penyelesaian 3
Latihkanlah bayi anda untuk tidur dengan sendiri serta dapat menenangkan dirinya sendiri apabila dia terjaga. Anda boleh membantunya membezakan antara malam dan siang dari mula dengan mengadakan penyusuan malam dalam keadaan senyap dan tenang, manakala di waktu siang, mengejutkannya jika dia tidur terlalu lewat. Lama-kelamaan dia akan belajar untuk menyimpan tidur panjangnya untuk waktu malam. Jika dia terjaga, gunakan suara anda untuk menenangkannya tetapi lebihkan tempoh masa antara jarak waktu anda mendekatinya. Ini akan membantunya belajar tidur dengan sendiri.
Penyelesaian 4
Bantu bayi anda untuk relaks dan biar dia tahu bagaimana menenangkan dirinya sendiri. Jangan biarkan dia "meluahkan tangisannya," tetapi jangan pula terus pergi kepadanya apabila dia mula merengek. Tunggulah beberapa minit dan pastikan dia benar-benar terganggu dan terjaga, barulah masuk ke biliknya, meyakinkannya dan menenangkannya tanpa mengangkatnya keluar dari kot atau raganya. Sebaliknya, usap dan tenangkannya dengan menggunakan tangan anda dan bercakaplah dengannya. Pada mulanya, pergi kepadanya setiap beberapa minit, tetapi lama-kelamaan panggilkan namanya saja dari luar bilik. Adalah satu idea yang baik untuk mewujudkan rutin waktu tidur yang tenang dan menyokong yang meliputi cerita pengantar tidur, mandian dan lain-lain.
Penyelesaian 5
Bina sikap tidur yang positif dalam anak anda dengan sentiasa menyokongnya selain memberikannya persekitaran yang tenang dan relaks yang akan membuat dia mengantuk. Dia akan belajar menganggap tidur sebagai sesuatu yang menyeronokkan, dan bukan sesuatu yang ditakuti.
Tidak terdapat cara yang "betul" untuk menggalakkan anak anda tidur sepanjang malam. Anda perlu memilih penyelesaian yang sesuai bagi anda dan keluarga anda.
Posted by Anis Farisha at 9:28 PM 0 comments