Perkembangan bayi semasa usia 11 bulan
Bulan kesebelas: Seorang
bayi mungkin dapat berdiri dari keadaan duduk menjelang waktu ini. Apabila
berdiri dia boleh menoleh ke kiri atau ke kanan. Dia boleh duduk bertinggung
untuk mengambil sesuatu benda dan mula mengawal pergerakan sudu dari tangan ke
mulutnya. Sekarang dia boleh bertutur beberapa patah perkataan yang boleh
difahaminya.
Berdikari
secara fizikal
Sekarang, cuma tinggal satu bulan saja sebelum harijadi pertama bayi anda dan anda harus sedar
yang dia bukan lagi seorang yang tidak boleh bertindak sendiri tanpa anda.
Walaupun dia masih memerlukan banyak jagaan dan bantuan, tetapi tahap
berdikarinya kian meningkat – jelas apabila melihat dia berdiri, membongkok dan
mencangkung – yang semakin menonjol. Dia mungkin boleh berjalan dengan memegang tangan anda dan dia akan
mengulurkan lengan atau kakinya untuk membantu anda memakaikan pakaiannya. Pada
waktu makan, dia mungkin boleh memegang cawan dan minum sendiri (walaupun
sesetengah kanak-kanak tidak boleh membuat ini untuk beberapa bulan lagi) dan
boleh menyuap dan menghabiskan makanannya dengan sendiri.
Apa yang menarik ialah, apabila anak anda pandai memegang cawan dan minum
sendiri, masa inilah anda mesti belajar bagaimana nak mengelak, sebab sudah
tentu dia akan melontarkan saja cawan itu apabila selesai walaupun ada kalanya
dia meletakkan cawan secara lembut. Dia juga akan menjatuhkan objek dengan
sengaja untuk dikutip oleh orang lain, barangkali mengharapkan anda juga.
Buku
untuk si pembaca kecil
Bayi anda seronok melihat buku, walaupun dia tidak akan
membukakannya sehelai demi sehelai. Dia juga akan mempunyai buku kegemarannya
yang dia akan mahu mengulangi berulang-kali.
Membentuk
peribadinya sendiri
Pada usia ini, bayi anda mula menjadi asertif dengan
adik-beradiknya dan mula menyertai permainan secara selari – bermain hanya di
sampingan (tetapi bukan bersama) kanak-kanak yang lain. Dia juga akan memilih
sesuatu selimut atau anak patung lembut sebagai objek sekuriti untuk
mendampinginya.
Tiba
masanya untuk menetapkan batasan
Bayi anda mungkin sudah boleh memahami arahan mudah dan
dengan sengaja akan memilih untuk tidak mendengar cakap anda apabila anda
mengatakan “tak boleh.” (Untuk menegaskan ungkapan tersebut, hanya gunakannya
untuk perkara-perkara yang betul-betul merbahaya.) Walaupun pada keesokan
harinya, bayi anda tidak akan ingat lagi apa yang anda katakan pada hari ini,
namun, bukanlah terlalu awal untuk anda menetapkan batasan-batasan dan mula
mengajarnya apa yang betul dan apa yang tidak.
Anda bukannya bersikap kejam jika anda tidak membenarkannya makan satu keping
kek lagi; anda hanya menetapkan batasan. Jika dia menarik ekor anak kucing,
alihkan tangannya, pandang mukanya dengan serius dan katakan, “Jangan, itu
menyakitkan kucing.” Kemudian, ambil tangannya dan tunjuklah dia bagaimana
untuk membelai kucing dengan lembut. Dia lebih suka meneroka daripada mendengar
amaran anda, jadi anda mesti bijak mencari jalan untuk melindungi dan
mengajarnya. Apa yang anda terlihat seakan-akan bantahan, sebenarnya bukan
begitu; ia hanyalah perasaan semulajadinya untuk mengetahui bagaimana dunia
sekelilingnya bergerak dan wujud.
Bercakap
tak terhingga
Bunyi-bunyi perkataan dan bunyi yang mirip perkataan akan
diungkapkan oleh bayi anda – dan digunakan secara bermakna. Apabila lobus
frontal otak bayi anda bertumbesar, serentak dengan
keupayaan kognitif tinggi seperti penaakulan dan pertuturan, adalah baik jika
anda dapat menggalakkan minatnya terhadap bahasa dengan mendengar
bersungguh-sungguh dan membalas kata-kata dan celotehnya. Interaksi seperti ini
adalah penting untuk membiasakannya dengan komunikasi dua hala. Bermain
permainan bertepuk-tepuk tangan, contohnya patta-cake dan permainan
sekejap-nampak, sekejap-tidak atau peek-a-boo akan membantunya menajamkan daya
ingatannya.
Pada usia ini, bayi anda mungkin boleh mengajuk bunyi perkatan serta infleksi
bunyi dan juga tingkah-laku tertentu. Dia juga mungkin boleh mematuhi arahan
mudah seperti "Tolong ambilkan saya bola itu" atau "Angkat sudu
itu." Bantu dia belajar dengan memberi arahan secara mudah, langkah demi
langkah supaya senang diikuti.
Hargailah masa yang singkat tetapi istimewa ini, iaitu semasa kemahiran
komunikasi bayi anda sedang berkembang. Ini boleh dikatakan kebolehan yang
paling penting yang diperolehi olehnya.