Kaedah dalam mendidik anak-anak supaya
cemerlang sebenarnya tiada formula khusus yang boleh diikuti atau diterapkan
kerana setiap anak adalah makhluk yang luar biasa dan unik dan berbeza-beza
antara satu sama lain.
Menurut Datuk Dr. Haji Mohd Fadzilah
Kamsah dalam bukunya, 21 Kaedah Mendidik
Anak cemerlang, ilmu mendidik anak adalah satu ilmu kemahiran yang perlu
dimiliki oleh ibu bapa sebagaimana perlunya mereka memiliki ilmu kemahiran
rumah tangga, kewangan,
teknikal dan agama.
Rasulullah s.a.w. telah menggariskan
empat tahap mendidik anak iaitu:
Tahap pertama:Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun )
hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang
sebagaimana haiwan menjaga anak.
Tahap kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah
kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.
Tahap ketiga:
Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara
berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak
bertentangan dengan syariat.
Tahap keempat:
Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan
bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu
bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.
1.
Kaedah pesanan dan arahan.
Pesanan dan arahan merupakan salah
satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Anak-anak
hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana
reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan.
Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan
bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan
kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa
bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan
baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :
- Mengenai solat di awal waktu
- Adab dengan orang tua-tua
- Adab dengan guru
- Adab dengan kawan-kawan
- Tugas harian di rumah
- Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
- Tatacara makan mengikut sunnah nabi
- Cara belajar yang berkesan
- Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
- Keselamatan jalan raya
- Tanggungjawab melindungi adik-adik.
2.
Kaedah Bercerita
Kaedah bercerita menguatkan hubungan
anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran,
kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah untuk mendidik anak-anak
secara tidak langsung melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan
maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita
tersebut, mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, anak-anak boleh
menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas dan ini lebih berkesan
bergantung kepada kemahiran pencerita.
3.
Kaedah Soal jawab
Kaedah ke-3 dalam mendidik anak cemerlang
ialah dengan bersoal jawab. Bersoalajawab denagn anak akan menggerakkan minda
mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil
tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka.
Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa,
keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan
sebagainya.
Ibu bapa hendaklah berusaha menjawab
semua persoalan. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada
soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa
hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh
anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.
Anak-anak kecil lazimnya suka
bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli
keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa
kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda
anak-anka yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi
yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.
4.
Kaedah merujuk pengalaman lalu
Pengalaman yang positif boleh
dijadikan teladan, pengalaman yang negatif boleh dijadikan sempadan. Pengalaman
ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang
terlibat. Ini kerana pengalamna ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang
ingin kita sampaikan dan mudah pula dijadikan iktibaroleh anak-anak. Pengalaman
anak-anak itu juga penting. Kaitkan apa perlunay mereka berwaspada denagn
peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang
pernah mereka kecapi.
5.
Kaedah nasihat dan teguran
Berilah nasihat dan teguran kepada
anak-anak dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan,
suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan
kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap
hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan.
Ketika mendengar nasihat dan teguran
daripada ibu bapa, anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya
atau tunduk.
6.
Kaedah bermain dan bergurau
Cuba tanya diri anda, berapa
kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat
pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain,
beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk
menggembirakan hati mereka.
Mengikut kajian psikologi, apabila
anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin
dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti
bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas
yang lebih penting.
Bapa juga tidak manis bergurau atau
bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu
tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan
tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan
sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.
7.
Kaedah latihan yang berterusan
Anak yang cemerlang perlu dilatih
secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah
S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan
berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya
:-
a. Jantina
Ibu bapa hendaklah memberi tugas
kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tuga yang berat dan kasar
diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman
yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun
tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering
dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai
pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.
b. Usia
Pengagihan tugas juga perlu
diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh
diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan
apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.
Jangan lupa memberi pujian dan
penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu.
Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.
Sumber: Majalah Wanita November 2005
- 7 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang oleh Noraishah Ismail
0 comments:
Post a Comment